LAPORAN HARI KERJAYA 2017

Laporan Program Hari Kerjaya
          Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengadakan Program Hari Kerjaya pada hari Rabu, 15 Februari 2017, yang lalu. Sambutan ini berlangsung dari jam 8.00 pagi sehingga 4.30 petang. Program ini juga disambut meriah oleh sekolah jemputan seperti Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan memilih kerjaya yang betul. Selain itu, program ini dapat mendedahkan pelajar tentang persediaan diri sebelum temu duga. 
          Seawal jam 8.00 pagi telah berlangsungnya aktiviti pertama iaitu ceramah atau taklimat di Auditorium Pusat PERMATApintar Negara. Semua pelajar Kolej PERMATApintar terlibat untuk mendengar ceramah atau taklimat tersebut dan meraikan Program Hari Kerjaya. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh wakil daripada syarikat peladangan terkemuka, Sime Darby. Ceramah beliau tertumpu kepada tajuk “Cara-cara Mendapatkan Biasiswa”. Hal ini demikian kerana Sime Darby merupakan syarikat yang menawarkan biasiswa kepada para pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia bagi menyambung pelajaran ke luar dan dalam negara. Melalui ceramah tersebut, beliau banyak berkongsi tentang kriteria pelajar yang layak mendapat biasiswa. Beliau juga menerangkan jenis-jenis biasiswa yang ditawarkan oleh Sime Darby.
          Selesai ceramah tersebut,  pengerusi telah memberikan beberapa pilihan kepada para pelajar yang hadir untuk menyambung aktiviti seterusnya. Pelajar diberi dua pilihan sama ada mengikuti ceramah kedua di Auditorium Pusat PERMATApintar atau bergerak ke kelas dan menjawab Inventori Minat Kerjaya. Ceramah seterusnya disampaikan oleh seorang wanita berpengalaman. Beliau berkongsi tentang “Cara Penyediaan Kertas Resume“. Banyak tips dan maklumat penting yang telah dikongsikan oleh beliau dalam penyediaan kertas resume yang menarik. Seusai ceramah, para pendengar diberikan peluang untuk membuat resume kerjaya dan diperiksa oleh beliau sendiri. Sementara di kelas-kelas Blok Akademik, para pelajar diminta untuk menjawab set soalan Inventori Minat Kerjaya. Kemudian, wakil kaunseling Kolej PERMATApintar menerangkan tafsiran disebalik jawapan-jawapan yang telah dipilih dan menentukan kerjaya yang paling sesuai dengan pelajar.
          Acara yang seterusnya berlangsung selepas waktu makan tengahari. Pada pukul 2.00 petang, wakil-wakil daripada fakulti-fakulti di Universiti kebangsaan Malaysia telah siap mendirikan gerai pameran fakulti masing-masing di perkarangan Auditorium Pusat PERMATApintar. Antara fakulti yang hadir semasa Program Hari Kerjaya tersebut ialah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Perubatan, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Kesihatan dan lain-lain lagi. Mereka telah menghias gerai pameran mereka dengan risalah-risalah dan kain rentang mengenai fakulti mereka untuk menarik perhatian pelajar. Fakulti Perubatan serta Fakulti Sains dan Teknologi mendapat sambutan hebat daripada para pelajar. Tujuan pameran ini dijalankan adalah untuk memberi pendekatan kepada pelajar tentang ijazah sarjana yang ditawarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
          Sambutan hebat oleh para pelajar dari Kolej PERMATApintar, SMA Persekutuan Kajang dan SMK Bandar Seri Putra amat menggalakkan. Kerjasama yang baik daripada pihak luar seperti daripada Sime Darby dan Universiti Kebangsaan Malaysia menjayakan lagi Program Hari Kerjaya tahun ini. Hal ini dapat dilihat melalui penyertaan aktif para pelajar dalam aktiviti yang diadakan. Melalui program ini, Unit Kaunseling Kolej PERMATApintar berharap agar  para pelajar dapat membuat perancangan awal dalam memperoleh kerjaya yang diidamkan. Sesungguhnya, pelajar yang hebat ialah pelajar yang berwawasan dan bijak dalam merancang masa depan. Oleh itu, kita hendaklah membuka mata tentang kerjaya yang ingin kita ceburi kelak.
Laporan disediakan oleh,                                                                                                18 Februari 2017
Aimi Hazirah
(AIMI HAZIRAH BINTI HAMIDON)
Setiausaha,
Program Hari Kerjaya 2017,
Kolej PERMATApintar UKM.

Share This Article:

CONVERSATION

1 comments :