LATIHAN KARANGAN UMUM BAHASA MELAYU

SOALAN : 

Dewasa ini, masalah gejala sosial di negara kita semakin serius dan membimbangkan banyak pihak. Huraikan pendapat anda tentang punca-punca yang menyebabkan masalah ini berlaku dan peranan ibu bapa dalam menangani gejala tersebut. 

JAWAPAN :


Gejala sosial merupakan masalah yang sering dibicarakan dalam komuniti hari ini. Ia tidak lagi melanda masyarakat membangun tetapi telah turut melanda masyarakat sedang membangun seperti Malaysia.Gejala sosial dalam masyarakat berada di satu tahap yang membimbangkan pemimpin politik mahupun rakyat biasa. Pelbagai pihak merasa resah dan gelisah dengan gejala berkenaan kerana dalam tempoh jangka panjang ia akan memberi kesan negatif terhadap generasi mendatang. Petanda awal keresahan dapat dilihat apabila banyak pihak saling menyalahkan orang lain sedang pada masa yang sama gejala sosial terus subur bagai tumbuhnya cendawan di musim hujan. 

Salah satu daripanya ialah krisis keluarga yang menyebabkan kawalan sosial ke atas anak-anak diabaikan. Ibu bapa yang sering bertengkar sudah pasti tidak dapat mengasuh dan mendidik anak-anak mereka dengan baik dan sempurna. Keadaan ini bertambah buruk apabila ada dalam kalangan ibu bapa yang sibuk dengan tugas mereka di pejabat sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengawasi tingkah laku anak-anak mereka. Akibatnya, terdapat anak-anak yang melarikan diri daripada rumah, bergaul dengan rakan-rakan yang tidak sepatutnya  dan dari situlah bermulanya segala masalah sosial yang disebut di atas.Sesetengah ibu bapa juga tidak begitu mengambil berat tentang 
pertumbuhan anak-anak. Malah ada yang melepaskan tanggungjawab pendidikan anak-anak mereka kepada pihak ketiga seperti orang gaji, jiran tetangga, kawan-kawan dan sebagainya. Kesannya akan menyebabkan rasa kasih sayang dan hormat anak-anak kepada ibu bapa semakin berkurangan dan akhirnya terhakis. Apabila anak-anak semakin membesar, nasihat dan teguran yang disampaikan oleh ibu bapa akan sentiasa diingkari oleh anak-anak mereka sendiri. Sebagai mengambil jalan keluar untuk menjinakkan anak-anak, maka ibu bapa terpaksa menggantikan kasih sayang tersebut dengan wang ringgit dan kemewahan. Tidak kurang juga terdapat ibubapa yang menggantikannya dengan kebebasan lalu mereka menyalahgunakannya.Ibu bapa yang mula menyedari perasaan tidak puas hati yang timbul daripada kalangan anak-anak mereka akan mengambil tindakan drastik dengan mengenakan tindakan disiplin yang terlalu ketat. Namun, tindakan disiplin yang terlalu ketat boleh menimbulkan masalah baru. Anak-anak mereka akan rasa terkongkong lalu mereka akan bertindak lebih agresif untuk mendapatkan hak yang mereka inginkan.

Seterusnya ialah fahaman agama yang cetek turut membantu pertumbuhan gejala sosial. Malang bagi sesiapa umat Islam yang hanya tahu tentang agamanya secara serpihan sahaja. Terdapat mereka yang fahaman agama itu dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadah sembahyang, puasa, tahlil, aqiqah dan beberapa juzuk kecil yang lain sahaja. Mereka tidak mendalami agama mereka sebagai sesuatu yang bertitik tolak dari akidah dan segala penyimpangan dari aspek hidup beragama bernoktahkan dosa dan pahala. Mereka tidak memahami hukum-hukum agama yang akan mempengaruhi sikap mereka dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan. Akidah, tauhid dan pendidikan agama Islam hanya diajar di peringkat sekolah sebagai satu mata pelajaran akademik dan bersifat teori tanpa dihubungkan dengan kehidupan dan masalah semasa. Tauhid hanya diterangkan sebagai mengesakan Allah, Allah Tuhan Yang Satu, Allah tiada tuhan melainkanNya dan biasanya berakhir setakat itu. Mereka mungkin kurang didedahkan tentang pemahaman Tasawur Islam lalu mewujudkan golongan yang mengatakan minyak dengan air tidak bercampur; mengakui dirinya sebagai Muslim tetapi pada masa yang sama melakukan tindakan yang tidak menunjukkan kepatuhan kepada Allah. 


Di samping ibu bapa, masalah ini juga berpunca daripada pengaruh media massa. Dalam zaman teknologi yang berkembang pesat ini, para remaja mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh yang negatif melalui internet dan banyak saluran yang laim sehingga minda mereka mudah diracuni oleh unsur-unsur yang kurang sihat. Di sampin itu, tuntutan modenisasi yang turut memberikan tekanan kepada remaja yang inginkan kebebasan untuk lepas daripada kongkongan ibu bapa dan menuntut hak individu juga memyebabkan remaja menolak autoriti ibu bapa yang mengawal tingkah laku mereka.
Selain itu, peranan rakan sebaya merupakan salah satu elemen syang berkait rapat dengan gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja. Biasanya mereka yang tidak mendapat perhatian dari rumah akan mencari rakan sebaya yang boleh memenuhi ego dan keperluan tersebut. Mereka akan menggabungkan diri mereka membentuk satu kumpulan remaja dan biasanya terdiri daripada kalangan mereka yang sama jenis. Mereka yang terbabit adalah dari kalangan keluarga yang ibu bapa mereka bekerja dan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa, antara tindakan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja ialah melalui peranan ibu bapa dan keluarga. Hal ini demikian kerana kita sedia maklum bahawa kebanyakan masa para remaja banyak dihabiskan di rumah terutamanya sewaktu cuti persekolahan. Ibu bapa sewajarnya memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak remaja. Sebagai analoginya ibu bapa hendaklah bertanya kepada anak-anak remaja tentang permasalahan yang dihadapi dan berusaha untuk membantu mereka menyelesaikannya atau dengan kata lain ibu bapa adalah pakar rujuk kepada anak – anak semasa di rumah. Hal ini menyebabkan anak – anak akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi oleh ibu bapa mereka. Bak kata mutiara anak adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Tegaslah,perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa amat penting dalam usaha menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.

Selain itu juga, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah menjadi rakan kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah. Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengenali rakan anak-anak remaja mereka. Jika perlu, sesekali minta supaya anak-anak membawa rakan-rakan mereka ke rumah supaya dapat dipastikan dengan siapa anak kita berkawan. Ibu bapa harus sentiasa berdoa agar anak-anak mereka terhindar dari perkara-perkara yang tidak diingini. Mereka harus sedar bahawa doa ibu bapa sangat penting untuk kesejahteraan hidup anak-anak dan juga ia membawa keberkatan dalam hidup seharian.

Tuntasnya, remaja ibarat pahlawan kerdil tetapi penuh keberanian. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk menangani masalah gejala sosial yang mencengkam dan membelenggu masyarakat. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sekiranya setiap lapisan masyarakat dapat melestarikan kewajipan masing-masing, pastilah kita dapat membina golongan remaja yang berwawasan dan bakal menjadi modal insan negara. Imam Al-Bukhari pernah mengungkapkan "Jika anda ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang." Bersama-sama kita membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja untuk mewujudkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Maka, negara kita akan mencapai aspirasi Wawasan 2020 sebagai negara yang disanjungi di persada antarabangsa.


”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Ali-Imran : 110)

Share This Article:

CONVERSATION

0 comments :

Post a Comment