LATIHAN PERIBAHASA

LATIHAN 1
1. bagaikan kera mendapat bunga
  • Orang yang tidak tahu menghargai pemberian orang lain.
Tidak berguna kita memberi hadiah basikal ini kepadanya kerana dia bagaikan kera mendapat bunga dan tidak menghargai pemberian kita itu.

2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit.
  • disebabkan seorang berbuat keburukan, nama kumpulan menjadi buruk.
Sikap Ali yang suka berbuat jahat itu menyebabkan nama baik sekolah kita tercemar kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.

3. burung terbang dipipiskan lada
  • mengharapkan sesuatu yang belum pasti.
Janganlah terlalu berharapkan sangat keuntungan pelaburan ini bagai burung terbang dipipiskan lada kerana belum pasti lagi keuntungan anak menjelma.

4. menegakkan benang yang basah
  • cuba menegakkan sesuatu yang salah atau tidak benar.
Janganlah kamu cuba menegakkan benang basah kerana semua rakan kita telah tahu bahawa perkara itu tidak benar.

5. bagaikan telur dihujung tanduk
  • dalam keadaan berbahaya.
Sejak meminjam wang daripada along tempoh hari, hidupnya bagai telur di hujung tanduk.

6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
  • orang berilmu yang merendah diri tidak akan hilang ilmunya.
Walaupun pandai namun James sentiasa merendah diri kerana ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
  • mendapat keuntungan yang banyak secara tiba-tiba.
Annas telah menjadi kaya-raya sejak berkahwin dengan anak jutawan itu dan bagaikan tikus jatuh di kepuk.

8. matinya semut kerana gula
  • mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda.
Oleh sebab terlalu tamak akan kuasa dan harta, akhirnya Johan hidup melarat kerana matinya semut kerana gula.

9. air dicincang tidak akan putus
  • pergaduhan di antara adik-beradik tidak akan berpanjangan tetapi akan berbaik semula.
Pergaduhan anak-anak Pak Samad tidak berpanjangan kerana air dicincang tidak akan putus.

10. bagaikan embun di hujung rumput
  • kasih-sayang yang tidak berkekalan.
Cinta Alia dan Shamsul bagaikan embun di hujung rumput dan tidak berkekalan.

LATIHAN 2
1. seperti mendukung biawak hidup
  • membuat pekerjaan yang sukar dan berbahaya.
Perbuatan awak menyertai kongsi gelap itu bagaikan mendukung biawak hidup.

2. sudah jatuh ditimpa tangga
  • menerima nasib malang/ kesusahan yang bertimpa-timpa/ berterusan.
Hidupnya bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga kerana selepas kematian anaknya, dia kematian isterinya pula.

3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
  • mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri.
Sikap Abu membiayai pengajian gadis itu bagaikan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan kerana keluarganya sendiri hidup dalam kedaifan.

4. ditelan mati emak, diluah mati bapak
  • dalam keadaan serba salah.
Sam Chong tidak tahu membuat pilihan untuk mengikut ibunya atau bapanya setelah mereka bercerai kerana ditelan mati emak, diluah mati bapa.

5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
  • berbuat baik kerana sesuatu sebab yang tersembunyi.
Saya tahu, Sabrina berbuat baik untuk memikat Manprit kerana kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.

6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
  • orang yang tamak akan rugi.
Jangan terlalu tamak bagaikan anjing dengan bayang-bayang, nanti kamu sendiri yang rugi.

7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
  • telah tahu keadaan sebenar walaupun hanya melihat luarannya sahaja.
Saya tahu tujuan kamu datang ke rumah saya kerana sekilas ikan di air, sudahku tahu jantan betina.

8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
  • membuat kerja bersungguh-sungguh sehingga mendatangkan hasil.
Belajarlah dengan tekun hingga berjaya umpama genggam bara api biar sampai menjadi arang.

9. bagai mencurah air ke daun keladi
  • membuat kerja dengan sia-sia.
Nasihat guru kepadanya bagai mencurah air ke daun keladi kerana dia tidak pernah mahu mendengarnya.

10. kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak
  • kesalahan orang lain yang sedikit kita nampak tetapi kesalahan kita sendiri yang besar kita tidak nampak.
Janganlah asyik menyalahkan orang lain dan bersikap kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.

LATIHAN 3
1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
  • di mana ada punca rezeki/ keramaian, di situlah orang ramai berkumpul.
Di tempat menjual loteri itu terlalu ramai orang berkumpul bagaikan lalat mengharung najis.

2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
  • pembangunan yang tumbuh dengan pesat.
Sejak Putrajaya dimajukan, kawasan petempatan di Bangi semakin maju bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
  • usaha gigih yang berterusan.
Jika kita gigih berusaha, lama-kelamaan kita akan menempa kejayaan kerana sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain.

4. seperti pelanduk dua serupa
  • mempunyai wajah yang serupa.
Saya menegur orang itu kerana saya menyangkanya Manprit Singh sedangkan dia hanya pelanduk dua serupa.

5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
  • mendidik anak biarlah sejak mereka masih kecil.
Ibu bapa perlu mendidik anak mereka sejak dari kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

6. seperti ular kena palu
  • barisan yang bengkang-bengkok.
Guru disiplin itu menjerit kerana terlalu marah apabila melihat barisan pelajar tersebut tidak lurus seperti ular kena palu.

7. mati semut kerana gula
  • mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda.
Oleh sebab terlalu tamak akan kuasa dan harta, akhirnya Johan hidup melarat kerana matinya semut kerana gula.

8. bagai mendapat durian runtuh
  • mendapat keuntungan dengan banyak.
Pada minggu lepas, Nazri mendapat durian runtuh apabila peniaga itu menghadiahkan beliau sebuah kereta baru.

9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
  • dua orang yang rapat bergaul tetapi mempunyai cita-cita yang berbeza.
Walaupun Ah Keong dan Rajoo sangat rapat, tetapi masing-masing mempunyai impian yang berbeza umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan
  • mendengar sesuatu keuntungan yang belum pasti, apa yang telah ada dibuang/ ditinggalkan.
Apabila mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan kerana apabila mendengar berita yang belum jelas bahawa dia akan mendapat pekerjaan baru itu, Ah Cun berhenti daripada kerja lamanya.

LATIHAN 4
1. Kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon yang bertanding dalam pilihanraya itu tidak disukai oleh penduduk di kawasan itu kerana janji yang ditabur tersebut mempunyai maksud yang tertentu.

Jawapan: Ada udang di sebalik batu / Seperti menanam tebu di tepi bibir(janji yang ada sesuatu di sebaliknya)

2. Selepas pertandingan memilih calon wakil rakyat itu berakhir, semua pihak yang bermusuhan telah berbaik-baik semula seperti sediakala.

Jawapan: Biduk berlalu kiambang bertaut (perselisihan faham akan kembali tenang/ baik semula)

3. Walaupun sudah sepuluh tahun berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki, namun kehidupan Encik Hamreesh masih juga susah apabila dia pulang ke kampung halamannya.

Jawapan: Bagai itik pulang petang (tiada perubahan sebelum atau selepasnya)

4. Walaupun berbadan besar dan kelihatan garang namun sebenarnya Encik Lin Cheng Heng seorang yang baik hari dan lemah lembut.

Jawapan: Meriam buluh (kelihatan garang tetapi sebenarnya baik dan lemah lembut)

5. Walaupun cuba keluarga Encik Yow Weng Fai cuba menyembunyikan kisah anaknya terlibat dalam rasuah, namun akhirnya rahsia tersebut tersebar juga kepada orang ramai.

Jawapan: Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia tak dapat ditutup / bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan sehelai daun/ pelepah. (sesuatu berita yang tidak baik akhirnya akan tersebar juga)

6. Hanya Chan Wei Jian sahaja yang nakal di kelas itu tetapi semua pelajar di sekolah itu menganggap pelajar kelas tersebut sebagai kelas pelajar-pelajar nakal.

Jawapan: Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit / kerana nila setitik, rosak susu sebelanga (seorang ahli berbuat keburukan, nama baik kumpulannya akan tercemar)

7. Walaupun asalnya How Huai Lam seorang pelajar yang lembam namun setelah diajar dengan bersungguh-sungguh oleh guru-gurunya, akhirnya dia berjaya dalam peperiksaan itu dengan cemerlang.

Jawapan: Belakang parang jika diasah lagikan tajam (Orang yang bodoh jika diajar akan menjadi pandai)

8. Santos seorang pelajar yang tidak tahu bermain badminton tetapi cuba mengambil bahagian dalam pertandingan badminton peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jawapan: Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga (Jika tidak ada kemampuan janganlah melakukan sesuatu yang kita tidak mampu lakukan)

9. Setelah merantau di India lebih tujuh tahun, akhirnya Cik Liew Poh En pulang dan menetap semula di kampungnya yang terletak di Negeri Sembilan.

Jawapan: Bagai ikan pulang ke lubuk/ bagaikan belut pulang ke lumpur (balik semula ke kampung halaman setelah lama tinggal di tempat orang)

10. Perbuatan Tong Kuan Yee menasihati kekasihnya yang bernama Wong Du Hou itu supaya berhenti merokok sia-sia sahaja kerana tidak diendahkan sama sekali oleh Wong Du Hou.

Jawapan: Mencurah air ke daun keladi (membuat kerja yang sia-sia)

Share This Article:

CONVERSATION

0 comments :

Post a Comment